Feel Free To Browse my blog ^JALAN-JALAN 101^

Saturday, May 12, 2012

SEHARI DI ROME PART 3


peta bas elektrik di Old Rome

sambungan...


Seterusnya kami akan menaiki bas elektrik untuk ke destinasi seterusnya iaitu Pantheon dan Piazza Navona. Saiz bas elektrik adalah kecil berbanding bas biasa dan boleh memsaukki lorong-lorong kecil dan berliku-liku di bandar Rome lama. Steysen bas elektrik no. 116 hanya beberapa meter dari Vatican City dan terletak di pinggir sungai Tiber. Paparan elektronik akan menunjukkan masa bas akan tiba. Kami turun di Pantheon yang asalnya merupakan sebuah kuil mesir tua. Bangunan berbentuk bulat ini berbumbungkan seketul batu yang berlubang ditengah-tengahnya.


di bahagian dalam Pantheon
Dari jauh, kelihatannya seperti sebiji periuk. Mengikut kepercayaan, kurban akan dipersembahkan kepada dewa dan akan dihantar melalui lubang besar di tengah-tengah bangunan pantheon ini. Lantai marmar/granite dan tiang-tiang besar adalah dibawa terus dari Mesir. Sebatang tiang berukiran abjad-abjad Mesir kuno seperti yang terdapat di Vatican City juga terdapat di hadapan bangunan Pantheon. Tiang-tiang ini atau obelisk adalah juga didatangkan dari Mesir semasa zaman Rome kuno.

Berdekatan dengan Pantheon,adalah Piazza Navona, sebuah lapangan yang perlu dilawati sekiranya anda adalah peminat seni. Lapangan ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan bersejarah yang masih utuh dan terpelihara. Artis-artis dikumpulkan/berkumpul di sini untuk menunjukkan bakat masing-masing dan menjual hasil kerja seni mereka. Sekiranya berminat untuk mengupah artis melukis potret atau membeli lukisan, di sinilah tempatnya. Kawasan ini yang dibangunkan pada tahun 100 masihi adalah asalnya sebuah stadium untuk penduduk rome lama berkumpul dan menikmati acara sukan. Mengikut sumber, pada masa Rome kuno, kuda-kuda yang terbaik akan dikumpulkan untuk dipertandingkan. Kuda yang paling awal sampai ke garisan penamat, lehernya akan terus dipancung untuk dipersembahkan kepada dewa/dewi.
artis-artis di Piazza Navona

Tarikan utama Piazza Navona adalah Fountain of Four Rivers dan 2 pancutan air yang lain iaitu Neptune Fountain dan Moor Fountain. Fountain of Four Rivers yang mengandungi 4 figura yang mewakili 4 sungai dari 4 kontinen iaitu Nile, Ganges, Danube dan Rio Della Plata adalah dibina di tapak sebuah obelisk. Walaupun kami belum puas menjamu mata di Piazza Novana dengan gelagat para artis, kami terpaksa bergegas pulang kerana keletihan dan kesejukan. Kami berpatah balik ke Pantheon untuk menaiki bas elektrik ke stesyen metro Barberini untuk ke Roma Termini.

Agak terkilan di hati kerana kami tidak sempat menjejakkan kaki ke Masjid Besar Rome yang terletak di Campo Sportivi di utara Bandar Rome. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Eropah. Masjid dengan keluasan 30,000 meter persegi boleh memuatkan 12,000 jemaah pada satu masa adalah dibina di bawah pembiayaan kerajaan Arab Saudi semasa pemerintahan Raja Faisal dengan perkenan Pope John
Paul II.

Menara masjid ini lebih rendah 1 meter daripada ketinggian  kubah St Paul di Vatican City. Rasulullah pernah bersabda semasa bersiap untuk peperangan Tabuk bahawa umat Islam akan menakluk 3 kerajaan iaitu Farsi, Yaman dan Rome. Farsi dan Yaman telah pun dikuasai keseluruhannya oleh umat Islam, manakala separuh Rome (pada masa tersebut dikenali sebagai kerajaan Byzantine) telah ditakluki oleh kerajaan Uthmaniah semasa pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih, dan di masa akan datang keseluruhan Rome akan dikuasai oleh umat Islam. Insya Allah.

Keesokan paginya, kami menaiki shuttle bus dengan tambang 8 Euro seorang ke lapangan terbang Fiumicino untuk ke Madrid.


COMING NEXT: 4-HOUR IN MADRID

SEHARI DI ROME PART 2

sambungan....

stesen metro di Collosseum
Seterusnya kami akan ke Spanish Step dan Trivi Fountain dengan menaiki Metro di stesyen metro di Collesium. Harga One Day Pass untuk semua pengangkutan awam seperti Tram, bas, Bas Elektrik, keretapi (tidak termasuk keretapi dari/ke lapangan terbang) dan Metro hanyalah 4 Euro. One Day Pass ini akan luput pada pukul 12.00 tengah malam pada hari/tarikh pembelian tanpa mengambil kira masa ianya dibeli. Sekiranya anda membeli One Day Pass pada pukul 10 pagi 2hb Mac 2011, masa luputnya adalah 12 tengahmalam 2hb Mac 2011. Cara penggunaannya adalah seperti kad touch n go di Malaysia.Kami turun di stesyen Spagna untuk ke Spanish Steps. Seperti biasa, pencahayaan di dalam kawasan stesyen metro adalah malap dan dinding-dinding dipenuhi dengan vandalism dan lukisan graffiti yang bermacam jenis dan tidak kurang juga ada yang menakutkan.

Sebaik keluar dari stesyen Spagna, anda akan berada di bahagian bawah anaktangga Spanish Steps iaitu Piazza Spagna. Mengikut sejarah, raja Pranchis yang memerintah pada kurun ke 17 telah menganjurkan pertandingan mereka dan membina anaktangga untuk ke sebuah gereja yang berada di bahagian atas Spanish Steps bagi menggantikan anak tangga yang agak curam dan sempit pada waktu tersebut. Spanish Steps yang disiapkan dengan 138 anak tangga adalah anaktangga yang terlebar di Eropah. Spanish Steps ini menjadi tumpuan orangramai yang ingin mendaki hingga ke atas atau menikmati makanan tengahari, walaupun pihak berkuasa Rome melarang orang ramai menikmati makanan tengahari di Spanish Steps.Di Piazza Spagna terdapat sebuah kolam pancutan air yang sentiasa dipenuhi dengan pelancung-
pelancung.
Spanish Steps

Dari Spanish Step, kami hanya perlu berjalan mengikut arus pelancung dan papan tanda untuk sampai ke Trevi Fountain. Trevi Fountain agak sesak dengan pelancung dan kami terpaksa menunggu giliran untuk mengambil gambar. Trevi Fountain yang berketinggian 26 meter dan mempunyai kelebaran 20 meter adalah pancutan air yang paling cantik di Rome dan tersohor di dunia. Adalah satu lagenda tradisi, sekiranya pelawat mencampakkan siling ke dalam kolam air pancutan ini, mereka akan kembali lagi ke Rome. Sekiranya 3 keping siling dicampakkan oleh 3 individu yang berlainan, 2 individu pertama akan menemui kekasih baru manakala yang ketiga akan berkahwin atau bercerai. Adalah dianggarkan sebanyak 3000 euro dicampakkan di sini setiap hari. Dikatakan wang ini diserahkan kepada pasaraya di sekitar Rome sebagai subsidi untuk harga barang keperluan penduduk Rome.

Perut mula terasa lapar, kami bercadang untuk balik ke Hotel dengan menaiki metro di Barberini yang
terletak beberapa meter dari Trevi Fountain dan turun di Roma Termini.
Trevi Fountain daripada Barberini.


Makanan yang dibawa dari Malaysia amat menyelerakan walaupun hanyalah nasi kukus sejuk, sambal tumis, ikan bilis goreng, ulam-ulaman dan telur rebus. Kami juga membawa bekal beberapa jenis air kotak, air mineral (di Rome harganya 1 Euro untuk 500 ml), makanan ringan, roti, gula-gula dan teh/kopi 3 dalam 1. Selepas makan dan membersihkan diri, kami akan ke Vatican City. 

peta Metro bandaraya Rome
Dengan One Day Pass, kami menaiki metro sekali lagi yang hanya beberapa langkah dari hotel kami dan turun di stesyen Ottaviano ‘San Peitro’. Dari stesyen ini, kami hanya perlu berjalan kaki sejauh 500 meter untuk sampai ke Vatican City. Terdapat ramai penjaja-penjaja menjual pakaian musim sejuk dan pelbagai cenderamata dengan harga yang berpatutan. Luas Vatican City hanyalah 110 ekar dengan penduduk melebihi 800 orang. Vatican City adalah sebuah negara terkecil di dunia yang diwujudkan melalui Perjanjian Lateran pada tahun 1929 semasa era Perdana Menteri Benito Mussolini dan diperintah secara ex-officio oleh Pope. Negara ini bukanlah ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Di sini jugalah terdapat kediaman rasmi Pope iaitu Apostolic Palace atau Papal Palace. Garisan putih di hadapan St Peter’s Square di Vatican City dan tembok batu yang mengelilingi Vatican City adalah tanda sempadan untuk kedua-dua negara ini. Vatican City dikawal oleh Swiss Guard lelaki berugama Kristian Katholik  berwarganegara Swiss. 

Swiss Guard di pintu masuk Vatican City. "perhatikan seluarnya bersambung dengan kasut"
tanda sempadan Vatican City dan Rome
Pakaian seragam mereka yang beratnya 4 kilogram adalah berwarna biru, merah, jingga dan kuning. Pengawal baru akan mengangkat sumpah setiap 6hb Mei setiap tahun. pelancung yang datang terlalu ramai beratur menunggu giliran membeli tiket masuk ke muzium di Vatican City, begitu juga terdapat ramai rahib-rahib katholik yang menziarahi Vatican pada ketika itu bersempena perlantikan Saint wanita pertama yang berasal dari Australia. Sebenarnya kami ke Vatican City adalah untuk melihat sendiri kemasyhuran bandar ini sebagai perbandingan dengan kota Makkah.

p/s: no pendaftaran kenderaan untuk Vatican City : CV , Rome : D.



SEHARI DI ROME PART 1


Apa yang anda akan lakukan di Rome sekiranya anda Cuma ada 24 jam dan budget yang terhad?


Untuk pengembaraan kami bertiga di kota Rome pada bulan November 2010, kami telah menghadkan perbelanjaan untuk sehari sebanyak RM1,000.00 sahaja bagi kos pengangkutan, penginapan dan makanan. Oleh yang demikian, sebelum keberangkatan, kami perlu memastikan tempat apa yang hendak dilawati, jenis dan lokasi penginapan yang paling dekat dengan pengangkutan awam dan semestinya makanan perlu dibawa dari rumah kerana kesulitan mendapatkan makanan halal di tempat asing dan sekiranya ada tentulah harganya lebih mahal dan belum tentu kena dengan selera kita.

Untuk tujuan tersebut, kami telah mendapat banyak panduan daripada pengalaman-pengalaman pelancung ke tempat yang hendak dilawati dengan melayari internet. Hasil ‘kerja keras’ kami ini melalui pelayaran dan pencarian di internet website ‘visit Rome - virtual tourist”, “what to do in Rome” “where to stay in Rome” “Public Transporation in Rome” “Budget Travel in Rome” “Budget Accommodation in Rome” “What to Visit in Rome’ “Airport Transportation” “Rome Metro Map Attraction” “Google Map” “Google Earth” dan sebagainya, kami telah berjaya mengurangkan kos 1 hari di Rome daripadaRM1,000.00 kepada RM850.00 sahaja untuk kami bertiga.

Kami tiba di Fiumicino Airport Rome lebih kurang pukul 6.30 pagi waktu tempatan akhir Oktober tahun lepas dan hampir memasuki musim sejuk. Perancangan awal kami ke kota Rome dari lapangan terbang adalah dengan menaiki Leonardo Train Express dengan kos 15 Euro seorang. Setelah kami menuntut bagasi kami, kami berjalan keluar dari terminal untuk ke stesyen keretapi dan kami terpandang iklan mengenai perkhidmatan bus shuttle ke Rome yang baru seminggu dilancarkan dengan kos hanya 8 Euro seorang. Kami hanya perlu melintas jalan untuk ke perhentian bas yang terletak di seberang jalan lapangan terbang. Di perhentian bas, kami bertemu dengan 2 anak muda pelancung ‘backpacker’ yang berasal dari Klang, Selangor yang baru tiba dengan pesawat berasingan. Sambil kami menunggu bas yang hanya akan tiba pada 8.30 pagi, kami dihampiri oleh seorang warga tempatan menawarkan perkhidmatan van ke Rome. Pada awalnya kami agak khuatir tentang keselamatan, tetapi memandangkan kami sekarang sudah berlima, kami pun memberanikan diri menaiki van tersebut untuk ke Roma Termini dengan bayaran sebanyak 8 Euro seorang. Sebaik menaiki van, kami diberikan setiap seorang peta Kota Rome dan dibawa ‘bersiar-siar’ di sekitar Bandar Rome seperti Collosseum dan zoo sebelum sampai ke destinasi.
left,my sponsor for the trip.

Hotel yang kami tempah melalui Booking.com adalah Hotel Stromboli yang terletak beberapa ela dari Roma Termini iaitu di Via Marsala dan juga betul-betul terletak di hadapan perhentian bas shuttle ke airport. Hotel Stromboli adalah diambil sempena nama gunung berapi Stromboli di Italy. Di kawasan Roma Termini, sebenarnya terdapat beratus-ratus hotel dan apartmen pelbagai budget dan jenis. Hasil pencarian kami di internet hanya hotel ini yang sedia untuk menerima tempahan pada ketika itu untuk bilik jenis triple dengan harga 90 Euro termasuk sarapan pagi dan bilik air.


Ketibaan kami di Hotel Stromboli disambut mesra oleh kakitangan hotel yang berbangsa Filipina. Memandangkan masa daftar masuk hotel adalah jam 12 tengahari, pekerja hotel berkenaan membenarkan kami menyimpan bagasi di tempat penyimpanan yang disediakan.

berhampiran Roma Termini ke Collosseum melalui Via Cavor.
Seperti yang dirancang, kami akan melawat Colloseum terlebih dahulu dengan hanya berjalan kaki sahaja melalui Roma Termini terus ke Via Cavor. Roma Termini adalah merupakan terminal keretapi utama untuk semua jenis keretapi termasuk keretapi laju ke lain-lain tempat di Eropah. Berhampiran Roma Termini, terdapat stesyen bas bandar dan stesyen Metro (keretapi bawah tanah) Dengan cuaca yang berkabus, berjalan kaki di awal pagi pada hari Sabtu di Rome amat menyeronokkan.


Collesseum
Di sepanjang Via Cavor terdapat banyak bangunan bersejarah yang masih terpelihara, kolej pengajian seni dan lukisan-lukisan graffiti di dinding-dinding bangunan dan tembok. Setelah 30 minit berjalan, kami tiba di Collosseum. Collosseum adalah bangunan yang siap dibina pada tahun 80 Masihi dan sebahagiannya runtuh akibat gempa bumi pada tahun 847 masihi. Sisa-sisa runtuhan Collosseum ada yang digunakan semula untuk membina bangunan-bangunan bersejarah seperti gereja St Peter di Vatican City. Binaan marmar ini boleh menempatkan 55,000 orang penonton dan mempunyai 80 pintu masuk. Tempat duduk yang paling atas dikhaskan untuk wanita dan masyarakat kelas bawahan manakala yang terbawah untuk golongan terhormat.

Gladiator.

Terdapat bilik-bilik bawah tanah yang menempatkan bilik-bilik penyimpanan senjata dan tempat kurungan binatang buas yang dilepaskan ke tengah-tengah arena. Maharaja menggunakan Collosseum untuk menghiburkan rakyatnya dengan permainan percuma. Dimulai dengan pertunjukan jenaka, binatang-binatang eksotik dan diakhiri dengan perlawanan sampai mati antara binatang liar dan gladiator atau sesama gladiator yang kebiasannya terdiri daripada penjenayah, hamba atau tahanan perang. Ada kalanya maharaja sendiri akan mengambil bahagian dalam perlawanan ini. Walaupun masih awal pagi, tempat ini telah pun dipenuhi dengan pelancong dari pelbagai negara dan pelajar-pelajar tempatan. Kami membatalkan hasrat memasuki ke dalam Collosseum kerana bahagian dalam Collosseum sebenarnya boleh diintai dari luar. Di sekitar Collesium terdapat ramai “penjual tanpa kedai” berbangsa Gipsi, Afrika dan India yang menjual pelbagai cenderamata, poskad, selendang dan sebagainya. Terdapat ramai juga lelaki-lelaki bertubuh sasa berpakaian ala Rome kuno lengkap dengan senjata peperangan. Pelancung boleh mengambil gambar bersama mereka tanpa dimaklumkan terlebih dahulu bayaran sebanyak 10 Euro dikenakan. Pelancung akan dimarahi sekiranya enggan membuat bayaran selepas itu. Tidak berapa jauh dari Collosseum ialah Circus Maximus, tempat perlumbaan kereta kuda (chariot race) di masa pemerintahan Rome kuno.